Showing posts with label 007 Surah Al A'raf. Show all posts
Showing posts with label 007 Surah Al A'raf. Show all posts

Surah Al A'raf, Ayat 1

Dengan nama Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang.

Alif, Laam, Miin, Saad.

Surah Al A'raf, Ayat 2

(Al-Quran ini) sebuah kitab yang diturunkan kepadamu (wahai Muhammad dari Tuhanmu). Oleh itu, janganlah ada perasaan bimbang dalam dadamu mengenainya, supaya engkau memberi amaran dengan Al-Quran itu (kepada orang-orang yang ingkar), dan supaya menjadi peringatan kepada orang yang beriman.

Surah Al A'raf, Ayat 3

(Katakanlah kepada mereka wahai Muhammad): "Turutlah apa yang telah diturunkan kepada kamu dari Tuhan kamu, dan janganlah kamu menurut pemimpin-pemimpin yang lain dari Allah; (tetapi sayang) amatlah sedikit kamu mengambil peringatan".

Surah Al A'raf, Ayat 4

Dan berapa banyak negeri yang kami binasakan, iaitu datang azab seksa Kami menimpa penduduknya pada malam hari, atau ketika mereka berehat pada tengah hari.

Surah Al A'raf, Ayat 5

Maka tidak ada yang mereka katakan ketika datangnya azab Kami kepada mereka, melainkan mereka (mengakui dengan) berkata: "Sebenarnya kami adalah orang-orang yang zalim".

Surah Al A'raf, Ayat 6

Maka sesungguhnya Kami (Allah) akan menyoal umat-umat yang telah diutuskan (Rasul-rasul ) kepada mereka, dan sesungguhnya Kami akan menyoal juga Rasul-rasul itu.

Surah Al A'raf, Ayat 7

Kemudian sesungguhnya Kami akan ceritakan kepada mereka (Rasul-rasul dan umat-umatnya), dengan (berdasarkan) pengetahuan (yang meliputi akan apa yang mereka lakukan), dan sememangnya Kami tidak sekali-kali ghaib (bahkan sentiasa mendengar, Melihat dan Mengetahui akan hal ehwal mereka).

Surah Al A'raf, Ayat 8

Dan timbangan amal pada hari itu adalah benar; maka sesiapa yang berat timbangannya amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang berjaya.

Surah Al A'raf, Ayat 9

Dan sesiapa yang ringan timbangan amalnya (yang baik), maka mereka itulah orang-orang yang merugikan dirinya sendiri, dengan sebab mereka berlaku zalim terhadap ayat-ayat Kami (dengan meletakannya pada bukan tempatnya).

Surah Al A'raf, Ayat 10

Dan sesungguhnya Kami telah menetapkan kamu (dan memberi kuasa) di bumi, dan Kami jadikan untuk kamu padanya (berbagai jalan) penghidupan (supaya kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur.

Surah Al A'raf, Ayat 11

Dan sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu, lalu Kami membentuk rupa kamu, kemudian Kami berfirman kepada malaikat-malaikat: "Sujudlah kamu kepada Adam", lalu mereka sujud melainkan Iblis, ia tidaklah termasuk dalam golongan yang sujud.

Surah Al A'raf, Ayat 12

Allah berfirman: "Apakah halangan yang menghalangmu daripada sujud ketika Aku memerintahkanmu?" Iblis memjawab: "Aku lebih baik daripada Adam, Engkau (wahai Tuhan) jadikan aku daripada api, sedangkan Engkau jadikan dia dengan tanah".

Surah Al A'raf, Ayat 13

Allah berfirman: "Turunlah engkau dari Syurga ini, kerana tidak patut engkau berlaku sombong di dalamnya; oleh sebab itu keluarlah, sesungguhnya engkau dari golongan yang hina".

Surah Al A'raf, Ayat 14

Iblis berkata: "Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari Kiamat)".

Surah Al A'raf, Ayat 15

Allah berfirman: "Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (kesuatu masa yang tertentu)".

Surah Al A'raf, Ayat 16

Iblis berkata: "Oleh kerana Engkau (Wahai Tuhan) menyebabkan aku sesat (maka) demi sesungguhnya aku akan mengambil tempat menghalangi mereka (dari menjalani) jalanMu yang lurus";

Surah Al A'raf, Ayat 17

"Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka; dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur".

Surah Al A'raf, Ayat 18

Allah berfirman: "Keluarlah engkau dari Syurga sebagai makhluk yang terhina serta diusir. Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi neraka jahanam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya.

Surah Al A'raf, Ayat 19

"Dan wahai Adam! Tinggallah engkau dan isterimu di dalam Syurga serta makanlah dari makanannya sepuas-puasnya apa sahaja yang kamu berdua sukai, dan jangalah kamu hampiri pokok ini, (jika kamu menghampirinya) maka akan menjadilah kamu dari orang-orang yang zalim".

Surah Al A'raf, Ayat 20

Setelah itu maka Syaitan membisikkan (hasutan) kepada mereka berdua supaya (dapatlah) ia menampakkan kepada mereka akan aurat mereka (sekian lama) tetutup dari pandangan mereka, sambil berkata: "Tidakkah Tuhan kamu melarang kamu daripada (menghampiri) pokok ini, melainkan (kerana ia tidak suka) kamu berdua menjadi malaikat atau menjadi dari orang-orang yang kekal (selama-lamanya di dalam Syurga)".